Bahasa Kebangsaan : Sistem tatabahasa (Sintaksis)

Konsep Tatabahasa (Morfologi & Sintaksis)

Pendahuluan:
Secara umumnya tatabahasa dalam bahasa Melayu mencakupi dua bidang, iaitu morfologi dan sintaksis (Nik Safiah Karim et al.,2004). Morfologi ialah bidang yang mengkaji struktur, pembentukan kata dan golongan kata. Dalam morfologi, unit terkecil yang mempunyai makna dan tugas nahu ialah morfem. Anda juga perlu mengetahui maksud istilah morfem dan kata. Hal ini demikian kerana kedua-duanya adalah berbeza dari segi fungsi dan konsep.

Tatabahasa:
Menurut Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1996) tatabahasa ialah peraturan-peraturan bagaimana sesuatu perkataan dibentuk dan bagaimana perkataan itu bergabung dengan perkataan-perkataan lain untuk menghasil ayat-ayat yang gramatis. Dengan kata lain, tatabahasa ialah rentetan ucapan, pengelompokan serta pengklasifikasian unsur-unsur ucapan menurut fungsinya. Mengikut konsep tradisional pula tatabahasa ialah satu cara mengkaji bahasa berdasarkan hukum-hukum yang telah dibuat terhadap bahasa itu berdasarkan makna. Plato (429-347) menerangkan kata nama sebagai noun dan perbuatan adalah verb. Ayat sebagai ucapan juga mempunyai fikiran yang lengkap. Empat jenis ayat iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat seruan dan ayat perintah yang berdasarkan logika.
Keperluan, pertumbuhan dan perkembangan tatabahasa di dalam pengajian pendidikan dan masyarakat umum telah mula sejak zaman berzaman lagi sehinggalah sekarang. Antara tokoh-tokoh penulis tatabahasa bahasa Melayu yang memberi sumbangan besar kepada perkembangan dan pembinaan tatabahasa bahasa Melayu ialah Shellabear (1899) menulis "A practical Malay Grammar", Adam & Butler (1948) menulis "Grammar of the Malay Language", Tandeloo (1901) menulis "Malaisch Grammatica" dan R.O.Winstedt (1913) menulis buku tatabahasa "Malay Grammar".

Di Malaysia, "Pelita Bahasa Melayu" karangan Za'ba (1953) adalah buku tatabahasa paling luas digunakan bagi memajukan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Sebelum ini beliau juga menghasilkan Kitab Ilmu Bahasa Melayu (1926) dan Kitab Pelita Mengarang (1926) dan Ilmu Mengarang Melayu (1950). Di Universiti Malaya, buku karangan Lufti Abas (1971) "Linguistik Deskriptif dan Nahu Bahasa Melayu" telah menjadi rujukan. Buku ini telah membincangkan tentang linguistik dan bahasa, nahu, fonetik, fonologi, sintaksis dan nahu tranformasi-generatif bahasa Melayu.
Hasil tulisan Abdullah Hassan (1980) dalam buku "Linguistik Am Untuk Guru Bahasa Malaysia" telah juga menerangkan tentang konsep tatabahasa dan menghuraikan dengan jelas kompenan-kompenan nahu tranformasi. Begitu juga dengan buku tulisan Lim Kiat Boey (1975) bertajuk "An Introduction to Linguistics for the Language Teacher" yang menerangkan konsep-konsep dan peraturan-peraturan tatabahasa tranformasi-generatif

Morfologi:
Morfologi ialah ilmu yang membicarakan struktur, bentuk dan golongan kata, serta cara perkataan diwujudkan daripada bunyi bahasa dan pengaruhnya terhadap makna kata. Di dalam morfologi, morfem ialah unit terkecil yang menjadi unsur perkataan. Sekiranya kata tidak boleh dipecahkan kepada unit bermakna atau nahu yang lebih kecil, maka kata-kata tersebut terdiri daripada satu unit atau satu morfem. Misalnya makan.  Makan  tidak akan berfungsi dan memberi makna jika dipecahkan kepada madan kanSebaliknya, kata dimakan boleh dipecahkan kepada dua morfem, iaitu di  danmakan. Kesimpulannya, perkataan boleh terdiri daripada beberapa morfem. Mofem boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu morfem bebas dan morfem terikat / imbuhan.
Morfem Bebas
Morfem Terikat / Imbuhan
Boleh berdiri sendiri
Contoh: Makan, lari, jalanrumah.
Mempunyai makna sendiri
Bentuk imbuhan ber, mem, di, kan.
Tidak mempunyai makna tetapi mengandungi fungsi tatabahasa atau nahu yang boleh mengubah makna sesuatu kata seterusnya makna ayat.


                                                                                                                                      
Morfem terikat/imbuhan:
Morfem terikat/imbuhan boleh dibahagi seperti berikut:
•Awalan. Ditambah pada bahagian depan kata dasar. Misalnya membaca, menghafal.
•Akhiran. Ditambah pada bahagian belakang kata dasar.
•Sisipan. Diselit di antara unsur unsur kata dasar. Misalnya telapak (tapak)
•Apitan. Ditambahkan serentak pada awalan dan akhiran kata dasar. Misalnya, imbuhan per....an dalam permainan.

Proses terbentuknya ayat bermula daripada morfem
MORFEM → PERKATAAN → FRASA → KLAUSA → AYAT

Kata boleh dibentuk melalui tiga cara utama iaitu pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan seperti dalam gambarajah di bawah.
 Golongan Kata dalam bahasa Melayu terbahagi kepada empat bahagian yang besar:
•Kata nama
•Kata kerja
•Adjektif
•Kata tugas.

Bahagian-bahagian itu terdiri daripada dua kumpulan kata, iaitu kata isian dan kata tugas. "Kata isian" ialah kumpulan kata yang terbuka dan sentiasa berkembang. Kata nama, kata kerja dan adjektif ialah kata isian terbuka. "Kata tugas" pula ialah kumpulan kata tertutup, contohnya dan, itu, amat, walaupun dan sebagainya. Kata-kata juga boleh digolongkan berdasarkan faktor sintesis dan semantik.

Kata nama:
            Kata nama terbahagi kepada dua bahagian yang besar iaitu nama am, nama khas, ganti nama dan nama terbitan. Kata nama am ialah kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa seperti orang, haiwan, dan sesutu yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, tempat , benda, dan sebagainya secara umum. Kata nama khas ialah kata nama yang secara khususnya digunakan untuk menyebut nama sesuatu benda sama ada benda yang bernyawa dan yang tidak bernyawa. Kata ganti nama pula ialah kata nama yang digunakan untuk mewakili diri seseorang atau sebagai penunjuk. Kata nama terbitan wujud apabila kata nama am atau kata kerja diberi imbuhan.

Kata kerja:
Kata kerja merupakan kata yang menjadi inti dalam frasa kerja, sama ada yang berlaku atau dilakukan. Contohnya, berjalan, makan, memakan, dimakan dan sebagainya. Kata kerja terbahagi kepada, kata kerja transitif ( Perbuatan Melampau ) dan kata kerja tak transitif ( Perbuatan tidak Melampau ).

Adjektif :
Adjektif ialah kata yang menjadi inti dalam frasa adjektif seperti manis sekali, sudah lama sungguh, masih lebat lagi (kata yang menjadi inti frasa digariskan di bawahnya).
Kata-kata dalam golongan kata adjektif menerangkan keadaan atau sifat sesuatu nama atau frasa nama. Kata adjektif boleh dikenali jika kata berkenaan didahului oleh kata penguat seperti amat, sangat, sungguh, sekali, paling, agak, benar.

Kata sendi:
Kata sendi adalah kata yang digunakan untuk menyambungkan frasa nama dengan kata atau frasa-frasa dalam ayat.

Kata hubung:
Kata hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menggabungkan perkataan dengan perkataan rangkai kata dengan rangkai kata ayat dengan ayat.

Kata seru:
Digunakan untuk melahirkan pelbagai perasaan, seperti suka, duka, marah, gembira, mencabar, dicabar dan sebagainya.

Kata Tanya:
Kata tanya digunakan untuk bertanya atau menyoal sesuatu. Kata tanya hadir di dalam predikat. Kata tanya mesti diikuti oleh partikel ‘kah’ apabila digunakan di awal ayat tanya. Kata tanya boleh wujud di awal, di akhir atau di tengah ayat. Partikel ‘kah’ tidak diperlukan jika kata tanya terletak pada akhir ayat. Contoh kata tanya ialah kenapa, mengapa, bila, apa, mana, bagaimana, siapa dan berapa.

Kata perintah:
Kata perintah bertugas untuk memberi tindak balas kepada orang yang mendengar (pihak kedua) sebagai larangan, silaan dan permintaan

                                                                                     
Sintaksis:
Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan atau konstruksi ayat. Ini bermakna, bidang sintaksis ialah kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat.
Aspek sintaksis yang diberi tumpuan adalah seperti yang berikut:
-          Unsur utama yang terdiri daripada kata frasa, klausa dan aspek pembinaannya serta pembahagian subjek dan predikat;
-          Jenis ayat, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayatseruan;
-          Ragam ayat iaitu ayat aktif dan ayat pasif;
-          Susunan ayat iaitu susunan biasa dan songsang;
-          Binaan dan proses penerbitan ayat:
-          Ayat dasar;
-          Ayat tunggal; dan
-          Ayat terbitan atau ayat majmuk.

Ayat:
Ayat ialah binaan yang terdiri daripada unsur ayat, iaitu unit-unit yang membentuk ayat.
Contoh: Ahmad sedang membuat kerja rumah.
Contoh ayat di atas terdiri daripada dua bahagian iaitu:
 (i) Ahmad sedang dan
(ii) membuat kerja rumah.
Bahagian subjek dan predikat, merupakan bahagian utama yang membentuk klausa atau ayat bahasa Melayu. Subjek dan prediket pula mempunyai unsur-unsur, iaitu sama ada frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi nama (FS).

Bahasa Melayu mempunyai berbagai-bagai jenis ayat untuk menyatakan maksud yang sama. Ciri-ciri ini menyebabkan bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa yang sentiasa hidup serta menarik. Jika hanya satu jenis ayat saja yang digunakan akan timbul rasa jemu pada pembaca. Oleh sebab itu, sasterawan dan penulis yang baik selalu menggunakan jenis-jenis ayat yang lain, sesuai dengan keperluan.

Jenis-jenis ayat bahasa Melayu dapat digolongkan kepada empat ragam:
1.Ayat penyata:
•Ayat transitif dan ayat intransitif
•Ayat aktif dan ayat pasif
•Ayat sungsang
•Ayat nafi
•Ayat inti dan ayat gabungan
2.Ayat perintah
3.Ayat tanya
4.Ayat seru

Ayat aktif:
•Ayat aktif dengan kata kerja transitif
•Ayat aktif dengan kata kerja pasif

Ayat pasif:
Berbanding dengan ayat aktif yang menekankan subjek, ayat pasif memberikan penekanan terhadap objek dan perbuatan sehingga subjek pelaku tidak dipentingkan atau langsung tidak perlu dinyatakan. Hal ini ada kaitannya dengan bahagian manakah yang anda hendak pentingkan atau menegaskan. Contohnya:
•Perkara itu sudah diselesaikannya; atau
•Perkara itu sudah diselesaikan,
adalah ayat-ayat pasif yang menegaskan "perkara itu", bukan pelaku yang menyelesaikan perkara itu. Bandingkan dengan ayat, "Dia sudah menyelesaikan perkara itu." Ayat itu menegaskan pelaku "dia".                                                   
Ayat perintah:
Ayat perintah bertugas untuk menyatakan sesuatu yang berupa perintah, larangan, suruhan, permintaan, ajakan, silaan, doa, dan harapan.
Jenis perintah              →        Contoh penggunaan
1. Perintah                   →        Berdiri di atas kerusi itu.
2. Suruhan                   →        Ikat tali kasut kamu dengan betul.
3. Larangan                 →        Jangan bermain di tepi sungai.
4. Permintaan              →        Tolong angkat kain di jemuran itu.
5. Ajakan                     →        Mengucaplah banyak-banyak.
6. Silaan                      →        Sila masuk.
7. Doa                                     →        Syukurlah kamu sudah sampai.
8. Harapan                   →        Harap-harap hari ini panas.

Ayat nafi:
Ayat nafi ditandai oleh adanya kata "bukan" dan "tidak". Secara umum, ayat nafi digunakan untuk menafikan atau menidakkan sesuatu, umpamanya:
•Dia tidak berpengalaman, tetapi cekap.
•Asmah bukan jururawat, tetapi doktor.
Peranan ayat nafi sebagai penegas maksud juga boleh diperhatikan dalam ayat tanya, umpamanya:
1.Bukankah orang itu abang kamu?
2.Tidakkah kamu ingin menyertai pertandingan itu?

Frasa sendi:
Untuk frasa sendi, kata nafi bukan dan tidak digunakan menurut kesesuaian, umpamanya:
1.Saya tidak ke sekolah hari ini kerana sakit.
2.Saya bukan dari sektor kerajaan.
3.Buku ini bukan untuk anda.
Kata "bukan" dan "tidak" dalam keempat-empat ayat di atas tidak boleh saling berganti. Oleh sebab itu, perhatian harus diambil dalam penggunaan kata "bukan" dan "tidak".
Ayat Tanya:
Ayat tanya dalam bahasa Melayu boleh dibentuk dengan tiga cara:
1.   Membubuh tanda tanya pada akhir ayat penyata:
Ayat penyata
Ayat Tanya
Tetamu sudah tiba.
Tetamu sudah tiba?
Buah itu sudah masak.
Buah itu sudah masak?
Mereka hendak datang.
Mereka hendak datang?



Dengan tidak mengubah susunan ketiga-tiga ayat di atas, ayat-ayat tanya boleh dibentuk dengan tanda tanya di hujung ayat-ayat penyata. Dalam pertuturan, ayat tanya di atas dinyatakan dengan suara menaik pada akhir ayat.

2.    Menggunakan partikel "kah":
Ayat-ayat tanya dalam bahagian di atas juga boleh disongsang melalui penggunaan partikel "kah" untuk mencipta ayat tanya sungsang:
Ayat penyata
Ayat Tanya
Tetamu sudah tiba?
Sudah tibakah tetamu?
Buah itu sudah masak?
Sudah masakkah buah itu?
Mereka hendak datang?
Hendak datangkah mereka?



Penggunaan partikel "kah" dalam jenis ayat tanya ini adalah penting untuk mengelakkan kesamaran makna.

 Menggunakan pelbagai kata:
Ayat tanya juga boleh dibentuk dengan menggunakan kata ada, apa, bila, bagaimana, berapa, mengapa, mana, dan siapa.
Kata
Ayat Tanya
Tanpa partikel ‘kah’
Dengan partikel ‘kah’

Ada
-
Adakah cara saya ini betul?
Apa
Apa yang kamu beli tadi?
Apakah yang kamu beli tadi?
Bagaimana
Bagaimana kamu melepaskan diri?
Bagaimanakah kamu melepaskan diri?
Bila
Bila kamu pulang?
Bilakah kamu pulang?
Mengapa
Mengapa kamu lewat hari ini?
Mengapakah kamu lewat hari ini?
Mana
Mana buku kamu?
Manakah buku kamu?
Siapa
Siapa nama abang kamu?
Siapakah nama abang kamu?



Kecuali kata "ada", yang lain dapat berdiri sendiri tanpa partikel "kah". Bagaimanapun, partikel "kah" sering digunakan untuk maksud penegasan.

4.    Kesalahan yang biasa berlaku:
Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan partikel "kah" di hujung ayat. Umpamanya:
•Tetamu sudah tibakah?
•Buah itu sudah masakkah?
•Mereka hendak menolong kitakah?
Kesalahan ini tertimbul kerana dipengaruhi oleh bahasa sehari-hari seperti berikut:
•Tetamu sudah tibake?
•Buah itu sudah masakke?
•Mereka hendak menolong kitake?
                                                                                                                                   
"Ke" sebagai bentuk ucapan sehari-hari bagi "kah" tidak boleh digunakan dalam tulisan. Selain itu, "kah" tidak boleh digunakan di hujung ayat.

 Ayat songsang:
Dalam ayat songsang, predikat terletak pada awal ayat dan subjek pula terletak pada hujung ayat. Ini merupakan hal yang terbalik dalam ayat biasa:

AYAT BIASA                        → SUBJEK + PREDIKAT
AYAT SONGSANG            → PREDIKAT + SUBJEK
AYAT PASIF                         → OBJEK + KATA KERJA + SUBJEK

Ayat songsang memberikan lagi satu cara untuk menyatakan sesuatu supaya membantu menghidupkan tulisan anda. Penggunaan ayat songsang sekali sekala akan menyebabkan bahasa anda akan lebih indah dan segar. Selain itu, ayat songsang amat berguna jika anda perlu menekankan predikat, dan bukan subjeknya. Semua jenis ayat dapat disongsangkan.
Jenis ayat

Susunan biasa
Susunan songsang
Ayat inti
Encik Ali usahawan
Usahawanlah Encik Ali
Kuda itu ke sana.
Ke sana kuda itu.
Ayat tanya
Orang itu abang kamu?
Abang kamukah itu?
Kamu sudah makan?
Sudah makankah kamu?
Ayat pasif
Hadiah itu akan saya hantarkan.
Akan saya hantarkan hadiah itu.
Saya ketinggalan keretapi pada hari itu.
Ketinggalan keretapi saya pada hari itu.



Perhatikanlah bahawa dalam setengah-tengah ayat seperti di atas, partikel "kan" (untuk ayat tanya) dan partikel "lah" (untuk ayat berita) perlu digunakan supaya jelas bentuk ayat songsang itu.
                                                                                                                                   
Ayat inti:
Ayat inti ialah ayat yang paling ringkas. Ayat ini boleh digunakan untuk menerangkan sesuatu dengan ringkas dan tepat, tanpa menimbulkan sebarang kesamaran makna. Umpamanya, jika anda menyatakan "Emas ialah logam", tiada tafsiran makna lebih daripada satu. Oleh itu, ayat inti amat berguna untuk menjelaskan sesuatu dengan konkrit. Selain itu, sasterawan sering menggunakan ayat inti untuk mempercepatkan jalan cerita, atau untuk menimbulkan perasaan ingin tahu pembaca.

Ayat gabungan:
Ayat gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua atau lebih ayat yang digabungkan menjadi satu ayat dengan menggunakan kata penghubung seperti dan, serta, atau, tetapi, lalu, dan sebagainya untuk mengaitkan pendapat yang berhubungan antara satu dengan yang lain. Bahasa Melayu mempunyai enam pola ayat gabungan, iaitu:
Jenis ayat gabungan

Ayat komponen
Ayat gabungan
Ayat dengan ayat
Abu rajin bekerja.
Majikan menaikkan gajinya.
Abu rajin bekerja dan majikan menaikkan gajinya.
Subjek dengan subjek
Ali suka makan durian.
Abu suka makan durian.
Ali dan Abu suka makan durian.
Predikat dengan predikat
Mereka menghadiri kenduri itu.
Mereka menganggap kenduri dapat mengeratkan perhubungan.
Mereka menghadiri kenduri itu kerana mereka menganggap kenduri itu dapat mengeratkan perhubungan.
Adverba dengan adverba.
Saya akan datang esok.
Jika tidak jadi, saya akan datang lusa.
Saya akan datang esok atau lusa.
Objek dengan objek.
Ibu membeli daging di pasar.
Ibu membeli ayam di pasar.
Ibu membeli daging dan ayam di pasar.
Ayat gabungan dengan kata hubung yang berpasangan

-
Sedangkan dia tidak dapat memasuki universiti itu, apatah lagi saya.



Selain daripada memperkaya gaya penulisan, ayat gabungan dapat mengaitkan dua ayat yang seakan-akan tidak ada perkaitan. Contohnya:
-Perkara itulah yang saya nyatakan kepada Ali.
-Ali tidak percaya.

Kedua-dua ayat seakan-akan tidak ada perkaitan. Jadi, dalam hal sedemikian, ayat gabungan yang berikut amat perlu digunakan:
-Perkara itulah yang saya nyatakan kepada Ali, tetapi Ali tidak percaya.

Ayat pancangan:
Ayat pancangan ialah ayat gabungan yang terdiri daripada satu ayat besar dan satu klausa (ayat kecil), umpamanya:
-Keluarga Ali berpindah ke Kuala Lumpur kerana penukaran kerjanya.
-Jika hari hujan, saya tidak akan keluar dari rumah.

Penutup:
            Penggunaan kata dan ayat dalam Bahasa Melayu amat luas dan kadangkala berlaku kesalahan penggunaan ayat disebabkan menjadi kebiasaan dalam pertuturan atau bahasa pasar. Oleh itu, pembacaan dan merujuki buku tulisan ilmuan bahasa dapat memperbetulkan penggunaan bahasa.                                                              

Comments

Popular posts from this blog

Bahasa Kebangsaan : Morfologi Bahasa Melayu (Proses pembentukan kata nama bahasa melayu)

Bahasa Kebangsaan : Sistem ejaan dan sebutan baku bahasa melayu